Projek RM7 juta letak kereta atasi parkir haram
2011/07/28
MASALAH tempat letak kereta haram di Kuala Kedah, dekat Alor Setar yang berlarutan bertahun lalu memerlukan penyelesaian segera agar tidak menjejaskan industri pelancongan, khususnya Langkawi. Kebanjiran pelancong yang meletak kenderaan di Kuala Kedah ialah mereka yang ke Langkawi.
Kebanjiran kenderaan mencapai kemuncak setiap kali cuti atau musim perayaan apabila pelancong berduyun-duyun bercuti ke Langkawi. Malangnya, tempat letak kereta di jeti Kuala Kedah terlalu kecil sekitar 150 lot saja.
Ramai pelancong meletak kenderaan sama ada di tempat letak kereta milik persendirian yang diusahakan penduduk, sekolah, surau atau masjid berhampiran. Tepi jalan juga tidak ketinggalan menjadi tempat letak kereta sehingga mengganggu lalu lintas dan memaksa polis atau penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyaman kenderaan terbabit. Ia berdasarkan aduan diterima akhbar ini baru-baru ini....
lagi...
Sumber : Berita Harian Online
______________________________________________________________________
Langkawi Geopark Akan Dinilai Untuk Disambung Sehingga 2015
Langkawi 20 Julai 2011 : Dua pegawai pakar dari UNESCO akan berada di Langkawi bagi tujuan untuk menilai semula Langkawi Geopark untuk tempoh statusnya disambung sehingga tahun 2015.
Prof Dr Mahito Watanabe dan Dr Richard Watson akan berada di Langkawi selama empat hari mulai 25 hingga 28 Julai ini. Di antara lawatan tinjauan mereka termasuklah sekitar Kilim Karst Geoforest Park, Gua Buaya, Pulau Anak Tikus, Tanjung Rhu, Matchincang Cambrian Geoforest Park, Telaga Tujuh dan MARDI Agrotek Park. Banyak kejayaan telah dicapai oleh Langkawi sejak Geopark diistihar. Ini termasuklah peningkatan kemasukan pelancong ke Langkawi.
Beberapa aspek akan dinilai oleh mereka seperti sosio ekonomi, pelancongan, pendidikan, pemeliharaan keindahan. LADA telah mengadakan Karnival ulangtahun Langkawi Geopark dengan pengisian sebanyak 20 acara diadakan baru-baru ini. Langkawi Geopark diisytihar oleh UNESCO "Global Geopark Network" sebagai Geopark ke - 52 dunia pada 1 Jun 2007 lalu.
Sumber : Lada
________________________________________________________________________
Lada sasar 200,000 pelancong
LANGKAWI 11 Mei – Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) berharap dapat menarik 200,000 pelancong dari negara Arab dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Penolong Pengurus Pelancongan Lada, Azmil Munif Bukhari berkata, bagi mencapai matlamat itu, lembaga itu bersama pengusaha hotel, ejen pelancongan dan pengusaha produk pelancongan telah membuat promosi secara bersepadu di Timur Tengah.
“Promosi terbaru ialah Arabia Travel Mart di Dubai baru-baru ini bersama Tourism Malaysia mendapat sambutan sangat menggalakkan,” katanya di sini hari ini.
Sumber : Utusan Online
_____________________________________________________________
Taman Agro-Teknologi Mardi Langkawi perkenal pakej baru
01/03/2011
LANGKAWI 1 Mac - Taman Agro-Teknologi Stesen Mardi Langkawi di Lubuk Semilang memperkenalkan pakej aktiviti lasak sebagai tarikan terbarunya bermula hari ini.
Pengurus Stesen Mardi Langkawi, Hassim Mat berkata, pakej itu akan dijalankan di kawasan hutan tropika seluas empat hektar.
"Ini adalah sebahagian usaha mempromosi untuk mempelbagaikan program taman di samping meningkatkan kehadiran pelancong,” katanya kepada Bernama.
Pakej yang lain yang disediakan ialah lawatan ke ladang, perkhemahan dan pembelajaran tentang alam semula jadi.
Beliau berkata, Mardi menyasar kira-kira 60,000 pelancong akan melawat taman itu tahun ini berbanding 45,000 orang tahun lepas dan 32,000 orang tahun sebelumnya.
"Sepanjang Januari lepas sahaja, lebih 3,000 pelancong dari 73 negara seluruh dunia melawat taman ini,” katanya. - Bernama
Sumber : Utusan Online
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Festival tangkap sotong Langkawi meriah
LANGKAWI 26 Feb. 2011- Sebanyak 223 kilogram sotong berjaya didaratkan di sekitar perairan Langkawi sempena program Suluh Sotong Langkawi 2011 yang bermula malam tadi dan berakhir di Jeti Kuala Cenang hari ini.
Ia disertai kira-kira 250 peserta mewakili 49 pasukan yang acaranya dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi, Pengurusan Sumber Perikanan Kuala Cenang dan para pengusaha pelancongan.
Pasukan Rebak dengan tangkapan seberat 13.4 kg muncul pemenang kategori sotong terberat berpasukan untuk membawa pulang wang tunai RM3,000.
Team Pensil pula muncul naib johan dengan tangkapan seberat 13.2 kg dan menerima RM1,000 manakala kumpulan Sinar Pagi di tempat ketiga dengan hasil seberat 12.4 kg dan menerima RM800.Pasukan Tanjung Rhu menjuarai kategori sotong terpanjang.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Johari Baharom menyampaikan hadiah kepada para pemenang. - BERNAMA
Sumber : Utusan Malaysia
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Dr M mahu LTDL terus kembali ke Langkawi
2011/01/22
LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu penganjur perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) tidak melupakan tempat asal perlumbaan berprestij di rantau Asia, Langkawi.
"Saya amat gembira kerana kita kembali bermula di Langkawi...tak kenalah
kalau kita panggil Le Tour de Langkawi tetapi tak sampai ke Langkawi...orang Langkawi pun rasa kecil hati," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pengenalan pasukan yang bertanding pada edisi ke-16 LTdL di
Dataran Helang, Kuah dekat sini, hari ini.
Sebanyak 23 pasukan akan mengambil bahagian dalam perlumbaan sebanyak 10 peringkat yang akan bermula esok. Beliau turut melahirkan rasa tidak puas hati kerana penganjur sebelum ini gagal melaksanakan tugas dengan baik, khususnya dari segi penganjuran.Pada peringkat awal penganjurannya, katanya, perlumbaan yang bermula dengan status 2.5 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mampu menarik pasukan status Trade Team 1 atau kini dikenali sebagai pasukan profesional (Pro-Tour).
"Apabila kita sendiri tidak menghargai penganjuran perlumbaan ini...dengan hanya libatkan dua buah negeri sahaja, pasukan seumpama itu tidak lagi mahu menyertai perlumbaan LTdL," katanya.
Dr Mahathir berkata, Malaysia pernah mendapat pengiktirafan yang cukup tinggi (dalam penganjuran LTdL) dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini penganjurannya dilihat tidak berapa berjaya menarik penyertaan pasukan ternama dunia.
"Kita harus ingat bahawa perlumbaan ini diikuti oleh banyak negara, bahkan lebih 300 negara dapat menonton perlumbaan ini kerana tujuan asalnya ialah untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
"Perlumbaan jelajah berbasikal ini lebih baik daripada perlumbaan F1, di mana F1 hanya lihatkan sebuah tempat sahaja, sebaliknya LTdL kadang-kadang melibatkan penyertaanseluruhnegara.Apabila mereka kenal Malaysia, barulah mereka akan datang ke sini semula," katanya. Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berbangga dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh pelumba-pelumba Malaysia.
"Ini adalah hasil daripada penyertaan yang berulang kali dalam perlumbaan seperti ini. Apabila kita melakukan latihan yang bertalu-talu, kita akan memperoleh kejayaan dan menjadi lebih baik," katanya.
Beliau berkata, tidak ada halangan untuk penganjur menambah jumlah peringkat perlumbaan kepada 20 peringkat perlumbaan seperti Tour de France selagi pihak penganjur mendapat kerjasama yang sewajarnya daripada pihak penaja. - BERNAMA
Sumber : Berita Harian Online
-----------------------------------------------------------------------------
LADA perhebat promosi pelancongan di Singapura & India
11/01/2011
LANGKAWI - Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) akan memperhebatkan promosi pelancongan ke Singapura, India dan negara Timur Tengah bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke Langkawi pada tahun ini.
Pengurus Pelancongan Lada Megat Shaharul Azman Abas berkata tumpuan akan diberi kepada Singapura sebagai hab menarik pelancong republik itu dan pelancong lain yang singgah di negara itu.
"Kita menyasar 2.5 juta pelancong dalam dan luar negeri akan berkunjung ke pulau peranginan Langkawi tahun ini," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata sasaran tahun lepas adalah sebanyak 2.4 juta dengan jumlah pengunjung bagi Januari hingga November adalah 2.1 juta.
Megat Shaharul Azman berkata Langkawi akan menghadapi aktiviti sibuk sepanjang tahun ini dengan Royal Langkawi International Regatta 2011 bermula 11 hingga 15 Jan ini sebagai pembuka tirai kalendar tahun ini. - BERNAMA
Sinar Harian
________________________________________________________
40 kapal layar sahkan sertai Regata Antarabangsa Diraja Langkawi 2011
2011/01/04
LANGKAWI: 40 kapal layar dari dalam dan luar negara mengesahkan penyertaan perlumbaan Regata Antarabangsa Diraja Langkawi 2011 di sini, selama lima hari mulai 11 Januari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal kejohanan, Ahmad Zailani Bashah, berkata antara negara yang terbabit adalah Australia, Hong Kong, Jepun, Taiwan, New Zealand, Thailand, Jerman dan Malaysia.
"Satu acara baru bagi kelas Hobie16 iaitu kapal layar berukuran 4.8 meter panjang dikemudi dua pelayar, akan dipertandingkan buat pertama kali," katanya di sini, hari ini.
Sehingga kini, katanya, enam pasukan mendaftar untuk bertanding kategori itu.
Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut bertanding mempertaruhkan kapal layar Navy 1 yang bertanding dalam kelas Sport Zuhrah (kelas Racing) dan Musytari (kelas Enam).
Setiausaha Persatuan Perahu Layar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lt Chin In, berkata pelayar terbabit giat menjalani latihan pusat di pangkalan TLDM Lumut sejak dua minggu lalu. - BERNAMA
Artikel : BeritaHarian Online
------------------------------------------------------------
Pulau Tuba akan dibangun sebagai pusat ilmu: Azizan
2010/12/30
LANGKAWI: Kerajaan Kedah bercadang membangunkan Pulau Tuba di sini, sebagai pulau ilmu yang dapat memberi manfaat kepada golongan muda.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata sehubungan itu satu sekolah tahfiz dan sains akan dibina di pulau tersebut.
Jabatan Agama Islam negeri dan Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama Kedah akan menyediakan kertas kerja yang akan dibentang kepada kerajaan negeri, katanya pada sidang media selepas lawatannya di sini, semalam.
Azizan berkata, sebuah pertubuhan sudah bersetuju untuk mewakafkan sebidang tanah seluas 1.6 hektar bagi pembinaan sekolah itu.
Pembinaan sekolah ini juga adalah bagi memenuhi permintaan penduduk setempat, katanya.
Selain itu, Azizan berkata, kerajaan negeri juga bercadang menaik taraf jeti di pulau tersebut selain menyediakan kemudahan chalet apabila sekolah berkenaan siap. - BERNAMA
Sumber : Berita Harian Online
---------------------------------------------------------------
320 terima bantuan kelengkapan sekolah
KEDAWANG - Pasangan murid kembar adalah antara 320 penerima sumbangan pada Majlis Gempur Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.
Pasangan kembar dari kampung Sungai Tepu, Bukit Malut, Mohd Yusri Hamzah dan Mohd Nazri Hamzah, 9, menjadikan musim persekolahan baru tahun hadapan sungguh bermakna.
Mereka bakal mengikuti Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bayas selepas bertukar dari SK (J) Chung Hwa.
Mohd Yusri berkata, sumbangan beg dan peralatan sekolah ini adalah kali pertama yang diterima mereka berdua.
“Tahun hadapan, kami akan mengayakan pakaian dan beg baru sama seperti kawan-kawan lain.
“Sumbangan ini membuatkan saya dan adik terus berusaha dan belajar bersungguh-sungguh untuk membantu keluarga,” katanya ketika ditemui di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang.
Hadir sama, Pengerusi Mayang, Datuk Paduka Abu Bakar Taib, Pengerusi Nadi, Mohd Rawi Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Kebangsaan (MPWK) Maryam Othman, Pegawai Jabatan kebajikan Masyarakat daerah Langkawi, Che Noor Che Ahmad dan Pegawai Pelajaran Daerah Langkawi Sabri Abdol Rahim.
Bagi bapa pasangan kembar berkenaan, Hamzah Isa, 27, berkata, pemberian ini berupaya meringankan beban musim persekolahan baru.
Menurutnya, seperti tahun sebelumnya, kira-kira RM500 terpaksa diperuntukkan untuk dua anak kembarnya itu.
“Nampaknya tahun ini, beban saya sedikit ringan dengan sumbangan yang diterima, ternyata kerajaan prihatin dalam membantu rakyat terutama kepentingan dalam pendidikan,” katanya.
Selain bantuan beg dan peralatan sekolah, majlis turut menyumbangkan 70 kotak berisi pelbagai makanan berharga RM300 setiap satu dan empat tilam.
Rujukan : SinarHarian |